ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 3.1 tan daun ketum dianggarkan bernilai RM558,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam serbuan ke atas sebuah bot nelayan di muara Kuala Sala di sini pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata serbuan pada 6.45 pagi itu dilakukan hasil risikan berkaitan aktiviti pemunggahan yang mencurigakan di kawasan tersebut.

"Bot Perkasa 1226 yang melakukan rondaan rutin Op Aman telah digerakkan ke lokasi dan menemukan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A bersama empat suspek dipercayai warga tempatan sedang memunggah bungkusan hitam di atas bot tersebut.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan 310 bungkusan plastik hitam disorokkan di bahagian tempat simpanan ikan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua bungkusan plastik berisi daun ketum itu telah dirampas bersama bot nelayan terbabit yang dianggarkan bernilai RM60,000 dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Noor Azreyanti juga berkata, modus operandi penyeludup kali ini berbeza kerana menggunakan bot nelayan yang berdaftar berbanding bot fiber tanpa nombor pendaftaran seperti dalam kebanyakan kes penyeludupan ketum sebelum ini.

Beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa dan bot terbabit disyaki sedang menunggu masa yang sesuai untuk keluar ke sempadan negara.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310 579," katanya.

-- BERNAMA